Pages

Wednesday 21 September 2016

APA ITU SPINA BIFIDA?

Assalammualaikum.


Hamil anak pertama adalah berita yang paling gembira sekali. Satu pengalaman dan memori yang indah buat kami suami isteri. Tetapi kegembiraan itu direntap pada usia 8 bulan kehamilan saya apabila doktor membuat imbasan ultrabunyi (ultrasound) . Doktor memberitahu kepala bayi dalam kandungan saya mengandungi air yg banyak berbanding bayi normal. Genap 37 minggu saya selamat melahirkan puteri sulung kami. Dan doktor mengesahkan anak saya lahir abnormal spina bifida jenis meningomielosele.

Apakah Spina Bifida?


Spina bifida ialah kecacatan semasa kelahiran yang menjejaskan tulang belakang. Spina bifida bermaksud "tulang belakang yang tidak lengkap". Ia berlaku apabila tiub neural tidak berkembang dengan betul dan menyebabkan saraf tunjang tidak tertutup dengan sempurna dan terdapat jarakan (gap) diantara vertebra.

Perbezaan antara tulang belakang normal dan spina bifida

Ada 3 jenis Spina Bifida

1. Spina Bifida Okulta (tersembunyi)


Okulta bermaksud yang tersembunyi dan kecacatan itu tidak boleh dilihat. Spina bifida okulta merupakan jenis yang paling biasa berlaku dan yang paling ringan. Dalam spina bifida okulta, terdapat jarakan kecil di antara vertebra pada tulang belakang. Kebanyakan orang yang mengalami spina bifida okulta mempunyai simptom-simptom yang ringan atau tiada simptom langsung dan mereka juga tidak tahu mereka mengalaminya. Spina bifida okulta biasanya ditemui secara tidak sengaja apabila orang yg mempunyai X-ray dan MRI untuk sebab-sebab tertentu lain.

2. Mielomeningosele (meningomielosele)


Meningomielosele atau spina bifida terbuka ini merupakan jenis yang paling serius. Bonjolan yang berupa sista atau pundi yang diselaputi kulit biasanya boleh dilihat dibelakang badan. Sista ini mengandungi tisu dan saraf. Saraf tunjang pula rosak atau tidak terbentuk dengan sempurna. Mereka yang mengalami spina bifida jenis ini biasanya mengalami kerosakkan saraf atau kelumpuhan pada bahagian bahagian tertentu, bergantung kepada dimana sista itu berada. Mereka juga mungkin tidak boleh berjalan atau mengawal kencing. Kebanyakkan kanak-kanak yang mengalami spina bifida jenis ini juga mempunyai hidrocefalus, dimana cecair disekeliling otak tidak dapat disalurkan ke dalam aliran darah. Beberapa bahagian otak menjadi rosak sebelum bayi dilahirkan. Dan sebab itu ia menghalang cecair tersebut daripada keluar dengan sempurna. Tekanan yang meningkat memampatkan lagi otak.

3. Meningocele


Jenis ini kurang serius daripada meningomielosele dan merupakan jenis yang paling jarang terjadi. Dalam spina bifida ini, pembukaan yang terbentuk berukuran cukup besar sehingga ada membran pelindung saraf tulang belakang mencuat keluar dari celah dibeberapa ruas tulang punggung dan membentuk kantung. Isi dari kantung ialah cairan tulang belakang dan membran pelindung, tanpa ada saraf tulang belakang. Spina bifida jenis ini, satu kantung atau sista menyelaputi membran yang boleh pecah dengan mudah.


Perbezaan jenis spina bifida Meningomyelocele dan Meningocele

Anakanda saya Alleesya menghidap spina bifida jenis meningomyelocele. Anakanda lahir dengan bonjolan dibelakang badan. Bonjolan tu berair dan doktor tutup supaya tidak dijangkiti kuman sementara tunggu hari untuk menjalani pembedahan. Anakanda juga menghidap hidrocefalus. Sehingga umur 6 tahun anakanda masih tidak boleh berjalan dan mengalami masalah mengawal kencing. 

1 comment:

  1. Salam sis, kalau tak keberatan, boleh tinggalkan no fon? Atau mana2 sosial network yang boleh saya contact? Saya nak tanya tentang pengalaman sis dgn anak myelomeningocele. Boleh ke sis?

    ReplyDelete