Pages

Monday, 1 June 2015

Hepatitis B Pembunuh Senyap

Assalammualaikum..dan Selamat Pagi

Di Asia, dianggarkan lebih daripada 350 juta penduduk merupakan penghidap Hepatitis B dan C. Jika dicampurkan jumlah penghidap keduanya, penyakit Hepatitis ini menjadi "pembunuh manusia" paling besar jumlahnya di dunia.

Hepatitis secara ringkasnya diterangkan sebagai keradangan hati dan selalunya dicetuskan oleh virus. Hepatitis B dan C adalah virus yang mampu mencetuskan gejala kronik dan jangkitan jangka panjang. Kira-kira 30% dari individu yang mendapat jangkitan hepatitis B atau C untuk jangka panjang akan cenderung mendapat komplikasi seperti sirosis hati atau kanser hati.

Hati sebagaimana diketahui adalah organ di bahagian kanan atas perut yang memiliki banyak fungsi, diantaranya menyimpan glikogen (bahan bakar untuk tubuh) yang diperoleh dari gula. Bila diperlukan, glikogen dipecahkan menjadi glukosa yang dilepaskan kedalam aliran darah.
Selain itu, hati membantu proses pencernaan lemak dan protein, membuat protein yang penting bagi pembekuan darah, mengolah pelbagai ubat yang mungkin anda ambil untuk diserap ke dalam fungsi tubuh dan membantu membuang racun dari tubuh.

Bagaimana Virus Hepatitis B tersebar?

Virus hepatitis B tersebar menerusi perhubungan secara langsung dengan darah yang telah dijangkiti virus atau semua jenis cecair tubuh yang lain termasuklah air mani dan cairan vagina.

Berikut adalah antara aktiviti yang dengan mudah menyebabkan penyebaran virus ini dari individu yang telah dijangkiti kepada individu lain :

• Melakukan hubungan seks tanpa pelindungan kondom dengan individu yang telah dijangkiti

• Berkongsi alatan yang memungkinkan pemindahan darah secara tidak sengaja seperti pisau cukur menerusi luka cukuran dan sebagainya yang berkaitan

• Berkongsi jarun suntikan (terutamanya penagih dadah), berus gigi (jika ada luka dari penghidap sewaktu memberus gigi), dan subang

• Segala aktiviti menindik tubuh, membuat tatu atau melakukan akupunktur menggunakan peralatan yang tidak disterilkan

Bagaimana seseorang itu tahu bahawa dia telah dijangkiti Hepatitis B?

Anda akan mengalami tanda-tanda penyakit ini dalam masa 45-160 hari dari hari anda mula dijangkiti. Jika dijangkiti, orang dewasa adalah lebih cenderung untuk mengalami tanda-tanda dan gejala penyakit ini.

Tanda-tanda awal dijangkiti Hepatitis B termasuklah penat, sakit kuning, gatal-gatal, hilang selera makan, hilang berat badan dan sakit sendi.

Apakah perjalanan semulajadi jangkitan kuman ini?

Kebanyakan orang yang telah dijangkiti akan pulih sepenuhnya. Sebilangan kecil akan menjadi lebih teruk dan boleh menyebabkan kegagalan fungsi hati yang boleh membawa maut. Ada juga yang akan menjadi pembawa virus hepatitis B yang kronik selepas pulih dari jangkitan awal Hepatitis B..
Pembawa virus Hepatitis B yang kronik adalah berisiko tinggi untuk mengalami komplikasi seperti radang hati yang kronik, sirosis hati, kegagalan fungsi hati dan barah hati.

Adakah jangkitan Hepatitis B boleh dirawat?

• Tiada rawatan khusus untuk jangkitan awal hepatitis B.

Langkah-langkah yang boleh diambil termasuklah :

• Rehat yang secukupnya dan minum air dengan banyak

• Diet rendah lemak dan kurang perisa/tawar

• Jauhi arak/alkohol

• Dapatkan nasihat doktor mengenai ubat-ubat yang diambil untuk penyakit kronik yang lain

• Pesakit radang hati yang kronik mungkin boleh dibantu dengan suplemen/ubat interferon atau lamivudine

Apakah langkah yang boleh diambil untuk mengelakkan dari dijangkiti Hepatitis B?

• Menghindarkan aktiviti berisiko tinggi contohnya menagih dadah secara suntikan dan seks secara rambang

• Menghindarkan berkongsi barang-barang persendirian contohnya pisau cukur
• Mengecualikan pembawa virus Hepatitis B sebagai penderma darah

Hepatitis B boleh dicegah dengan efektif melalui vaksin Hepatitis B. Di Malaysia, semua bayi diberi pelalian untuk HBV. Pelalian Hepatitis B juga digalakkan untuk kumpulan umur dan populasi masyarakat tertentu. Contohnya :

• Mereka yang belum pernah mendapat pelalian Hepatitis B sebelum ini

• Mereka yang terdedah kepada orang yang dijangkiti dengan Hepatitis B di rumah atau secara seksual

• Mereka yang terdedah kepada darah atau produk darah

• Kakitangan kesihatan

• Pesakit-pesakit dialisis

No comments:

Post a Comment